Saturday, 18 April 2015

Sejarah Pendidikan Awal Kanak-kanak

Kanak-kanak merupakan insan yang sedang melalui proses pertumbuhan dan perkembangan dari segenap aspek jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial. Ia merangkumi kebolehan dalam penguasaan kemahiran asas dan pemupukan sikap kendiri yang positif sebagai persediaan sebelum memasuki sekolah rendah.

            Dorongan dan hubungkait berdasarkan matlamat dan definisi pendidikan awal kanak-kanak inilah yang memberikan rangsangan minat terhadap bidang yang penuh cabaran dan unik ini. Berkenaan dengan Pendidikan Awal kanak-kanak guru sentiasa difokuskan kepada ilmu berkaitan psikologi perkembangan yang menjurus kepada kajian psikologi tentang aspek perkembangan diri manusia terutamanya tingkah laku kanak-kanak dari pra lahir hingga dewasa.

            Mengikut Sanders et. al. (2005) menyatakan bahawa kanak-kanak beralih dari tahun Reception (4-5 tahun) ke darjah satu (5-6 tahun) memerlukan lebih perhatian terhadap keperluan mereka. Oleh itu, pendidikan awal kanak-kanak adalah amat penting dan harus bermula sejak kecil lagi. Sebagai guru prasekolah, kepekaan terhadap asas keperluan kepentingan pendidikan kanak-kanak adalah amat dititikberatkan. Dengan kata lain, guru Prasekolah merupakan pendidik awal yang menerapkan asas pembelajaran dan menyediakan pengalaman kehidupan hariannya di prasekolah.

            Proses pembelajaran, perhatian serta tahap perkembangan jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial kanak-kanak yang senantiasa meningkat. Selain itu, melalui tugas sebagai pendidik awal kanak-kanak, guru dapat membina hubungan interaksi dan komunikasi bersama ibu bapa kanak-kanak dan seterusnya dengan masyarakat.


 Teori dan Ideologi oleh Rudolf Steiner (German) dan Howard Gardner (Amerika Syarikat)

            Rudolf Steiner dilahirkan di Austria 1861 dan merupakan anak kepada seorang pegawai stesen kereta api. Teori beliau yang paling hebat adalah model pendidikan yang direka bentuk berdasarkan kepada pandangan falsafah beliau dan teori perkembangan kanak-kanak (Richard 1980: Steiner 1982). Falsafah Steiner bermula daripada falsafah antropologi dari Greek. Menurut Steiner, dalam tempoh 7 tahun pertama kehidupan, perkembangan kanak-kanak lebih tertumpu pada bentuk fizikal tubuh badan. Beliau mencadangkan 7 tahun kitaran yang merangkumi aspek perhubungan fizikal dan kerohanian. Kanak-kanak pada peringkat ini meniru orang-orang dewasa di persekitaran untuk mengenali dunia. Mereka juga melatih diri dengan pekerjaan sebenar melalui bermain dan projek-projek kraf tangan. Menurut beliau tempoh 7 tahun pertama inilah merupakan masa terpenting kanak-kanak untuk meneroka alam fantasi dan imaginasinya. Steiner berpendapat pada tahap ini pengajaran secara formal adalah sangat tidak sesuai untuk kanak-kanak. Kesimpulannya bersandarkan kepada teori perkembangan ini, menunjukkan Steiner percaya kepada pendidikan. Beliau merasakan bahawa kanak-kanak mesti berhubung secara menyeluruh dari aspek fizikal tubuh badan, jiwa dan kerohanian.

            Menurut Gardner (1988), kecerdasan adalah kekuatan intelektual yang istimewa bagi seseorang kanak-kanak. Terdapat sembilan jenis kecerdasan yang mungkin dikuasai oleh setiap kanak-kanak. kanak-kanak juga mempunyai kekuatan dan kelemahan yang berbeza. Kecerdasan yang ada pada kanak-kanak adalah kecenderungan kepada satu bidang, manakala mereka mungkin lemah dalam bidang lain. Bidang kecerdasan yang dikenal pasti oleh Gardner ialah:
1. Pintar bahasa
2. Pintar logik-matematik
3. Pintar bunyi
4. Pintar ruang
5. Pintar kinestetik
6. Pintar pergaulan
7. Pintar diri
8. Pintar bumi dan alam
9. Pintar kewujudan