Monday, 11 May 2015

Penggunaan ICT Dalam Pendidikan Awal Kanak-kanak

Penggunaan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran bermaksud menggunakan ICT secara berfikrah, terancang dan bersesuaian untuk meningkatkan kecekapan proses dan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran. Oleh yang demikian perubahan-perubahan pedagogi menggunakan ICT adalah perlu dalam usaha menghasilkan proses pengajaran dan pembelajaran menjadi lebih menarik lagi berkesan (Mohd. Arif & Rosnaini 2002; Fauziah Ahmad 2006).
Pendidikan prasekolah merujuk kepada Akta Pendidikan 1996 ialah program pendidikan bagi murid yang berumur dari 4 hingga 6 tahun (Kementerian Pendidikan Malaysia, 2013). Program dan kegiatannya mengikut garis panduan kurikulum prasekolah yang berlandaskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Tujuan pendidikan prasekolah ialah untuk memperkembangkan potensi kanak-kanak secara menyeluruh dalam aspek jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial melalui persekitaran pembelajaran yang selamat, selesa serta menyediakan aktiviti yang menyeronokkan, kreatif dan bermakna. Ini adalah untuk meningkatkan kemahiran dan keyakinan diri dengan keadaan semasa, boleh menangani cabaran dan tanggungjawab di sekolah rendah kelak (Kurikulum, 2010).
Dalam usaha merapatkan jurang digital antara lokasi, guru dan pelajar, penggunaan ICT telah diperluaskan bukan sahaja di sekolah, malahan di peringkat prasekolah. Pelbagai pendekatan, strategi dan teknik yang sesuai dengan minat dan kebolehan kanak-kanak digunakan untuk mencapai hasil pembelajaran dalam kurikulum pendidikan prasekolah. Pembelajaran yang berkesan dari usia kanak-kanak lagi akan membentuk satu asas pembelajaran yang kukuh dan mantap bagi membantu mereka untuk meneruskan pembelajaran di peringkat yang lebih tinggi (Sharifah Nor 2002;PPK 2003a).
Penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (Information and Communications Technology atau ICT) dalam pengajaran dan pembelajaran prasekolah merupakan salah satu cara untuk meningkatkan keberkesanan P&P prasekolah. Kanak-kanak hari ini adalah generasi komputer (Papert, 1996). Teknologi boleh memainkan peranan penting dalam proses P&P kanak-kanak (Haugland & Wright, 1997). ICT menawarkan pendekatan baru untuk belajar dan penguasaan kemahiran baru. Oleh itu kanak-kanak perlulah didedahkan kepada ICT dengan cara yang bermakna.
Jika ICT tidak sepenuhnya diintegrasikan ke dalam kurikulum secara keseluruhan, ia boleh meninggalkan kesan negatif ke atas kreativiti kanak-kanak (Haugland, 1992). Menyedari hakikat ini, pada tahun 2002 program ICT (KPM, 2003) prasekolah diberikan keutamaan dan dijadikan sebahagian elemen penting di mana ia bukan sahaja telah diambil kira sebagai salah satu komponen dalam Kurikulum Prasekolah Kebangsaan malah menggunakan ICT juga diutamakan.
Kurikulum KSPK merupakan kurikulum yang berbentuk modular di mana ia merupakan satu kurikulum yang kandungannya diorganisasikan dan seterusnya disampaikan dalam bentuk bahagian atau unit yang dikenali sebagai modul. Terdapat dua jenis modul iaitu modul teras dan modul bertema. Modul teras terdiri daripada mata pelajaran Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Bahasa Cina/Bahasa Tamil, Pendidikan Islam/Pendidikan Moral dan Matematik. Modul bertema pula merupakan modul bersepadu yang merangkumi unsur-unsur dalam keenam-enam tunjang pembelajaran dan juga unsur kreatif, kritis dan inovatif. Modul Bertema dibina menggunakan isu kehidupan atau peristiwa seharian kanak-kanak.
Guru prasekolah digalakkan menggunakan ICT dalam P&P merentas kurikulum. Pendekatan ICT digunakan untuk membantu proses P&P menjadi lebih menarik, memperolehi maklumat, berinteraksi dengan bahan untuk belajar sendiri dan bersama rakan sebaya dan memperkayakan pengalaman pembelajaran. Bagi menjayakan rancangan ini, Kementerian Pelajaran telah membekalkan kelas prasekolah dengan sistem komputer dan perisian untuk digunakan oleh pelajar-pelajar prasekolah (Lim Keat Heng, 2007).

         
  


Penggunaan ICT dalam pendidikan mestilah difokuskan kepada proses mengaplikasikan peralatan dengan menggunakan prinsip, kaedah dan teknik yang sesuai dalam pengajaran dan pembelajaran. Komputer bukan sahaja dapat menyimpan maklumat dengan kapasiti tinggi malah dapat mengukur perkembangan kanak-kanak dengan cepat dan berkesan. Pelbagai perisian yang digunakan juga mampu menambah pengetahuan kanak-kanak, memberikan pengalaman bermakna, meningkatkan kemahiran kanak-kanak dalam mempelajari bidang ilmu seperti Sains dan Matematik (Abdul Halim 2008).
Potensi ICT sebagai alat yang boleh membantu dalam pengajaran dan pembelajaran menjadi semakin penting dan meningkat secara mendadak dalam sistem pendidikan masa kini. Minat dan kegemaran pelajar menggunakan ICT harus dimanfaatkan oleh guru dan ibu bapa dengan membimbing pelajar dan anak mereka ke arah penggunaan yang betul. Satu cabaran dalam sistem pendidikan di Malaysia adalah untuk menganjak paradigma guru ke arah perubahan kaedah pengajaran dan pembelajaran terkini menggunakan komputer dan kemudahan ICT sebagai pendekatan alternatif. Para guru perlu mencari idea pembelajaran dan bahan bantu mengajar yang menarik untuk memotivasikan minat dan mewujudkan daya tarikan dalam proses pembelajaran kurikulum pendidikan. (Liew 2007; Sharifah Nor 2010).
Tidak dinafikan bahawa teknologi komputer boleh menjadi wadah utama perkembangan dalam pendidikan awal kanak-kanak. Ia mampu menjadikan proses pembelajaran dalam kalangan kanak-kanak lebih menarik, meluas dan mengkagumkan.
Bagaimanapun, antara isu utama yang sentiasa menjadi agenda dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak ialah dari segi keberkesanan pembelajaran berbantukan elemen multimedia.
            Penggunaan ICT dalam pendidikan awal kanak-kanak dalam sessi pengajaran dan pembelajaran secara terancang dan bersesuaian dapat membantu dalam pencarian maklumat dan ilmu pengetahuan terhadap seseorang kanak-kanak itu. Walau bagaimanapun, ICT dalam pengajaran dan pembelajaran untuk awal kanak-kanak tidak boleh terlalu berat dan ia haruslah bersesuaian dengan peringkat umur kanak-kanak tersebut.

 

       

Saturday, 9 May 2015

Pengetahuan ICT dalam Pendidikan Awal Kanak-kanak Pada Masa Hadapan

Penggunaan bahan ICT agak terkenal di negara-negara barat dan keberkesanannya amat maju. Aktiviti seperti nyanyian, menggabungkan pembelajaran dengan menggunakan sofware atau perisian yang sesuai dengan kanak-kanak. Mereka juga boleh mencipta lagu mereka sendiri dan mempelajari pelbagai alat muzik menggunakan perisian tersebut. Selain itu, National Geographic Kids membekalkan maklumat tentang geografi, kraf, aktiviti sains untuk kanak-kanak (Doris Bergen,2001).
Menurut Burnett (2010) kanak-kanak masa kini membesar dalam textual landscape di mana mereka mempunyai pelbagai cara berinteraksi dan bermain dengan aktif di dalam persekitaran yang dicipta melalui teknologi digital seperti permainan komputer, telefon bimbit dan dunia virtual. Kajian-kajian penggunaan ICT pada peringkat awal kanak-kanak menunjukkan pendedahan kepada komputer multimedia boleh memberangsang dan mendorong kanak-kanak belajar dengan lebih baik, cepat dan berkesan. Pendedahan awal kanak-kanak kepada ICT dan teknologi digital dapat membina pemikiran kritikal, meningkatkan kreativiti, meneroka pelbagai bidang, mengaplikasi pengetahuan dan kemahiran dalam situasi, di samping meningkatkan minat dan perhatian. Banyak konsep asas dalam pembelajaran boleh disampaikan dengan berkesan melalui program pengajaran dan pembelajaran menggunakan komputer multimedia (Maier & Warren 2002; Parker 2008)

Menurut Alessi dan Trollip (2001) pembelajaran menerusi ICT mempunyai banyak kelebihan. Antara kelebihan itu ialah: murid boleh mencapai bahan pembelajaran pada bila-bila masa dan di mana jua mereka berada; bahan pembelajaran boleh dirangkaikan daripada sumber tambahan yang terdapat di seluruh dunia; pengurusan dan mengemas kini bahan menjadi semakin mudah dan pantas; dan pelbagai bentuk saluran komunikasi boleh disediakan bagi kegunaan pelajar dan guru. Jonassen (2003) pula berpandangan kemudahan hiperteks dan hipermedia dalam ICT dapat menyediakan suasana pembelajaran yang bercirikan konstruktif. Penggunaan ICT menjadikan proses pencarian maklumat menyeronokkan dan menghiburkan. Interaktiviti membolehkan proses latihan atau pengajaran dijalankan mengikut kesesuaian, keperluan dan cita rasa pelajar.
Pada asasnya, kanak-kanak mendapat pengalaman melalui manipulasi benda-benda maujud atau konkrit serta penerokaan persekitaran mereka. Kanak-kanak belajar daripada persekitaran mereka melalui lima deria semula jadi yang dianugerahkan sejak mereka lahir. Daripada pengalaman ini kanak-kanak akan menganalisis pengetahuan dan mengukuhkan konsep pembelajaran mereka. Teori kematangan kanak-kanak yang diasaskan oleh Rousseau dan teori perkembangan kognitif kanak-kanak oleh Piaget, Bruner dan Vygotsky menekankan bahawa kanak-kanak berkembang mengikut keupayaan apabila didedahkan pada persekitaran yang optimum. Dalam pasaran masa kini, terdapat pelbagai jenis program dan perisian yang boleh diperoleh dengan mudah. Kanak-kanak didedahkan dengan pelbagai bahan pembelajaran yang berbentuk akademik mahu pun permainan. Semua ini alat rangsangan yang menyediakan pengalaman pembelajaran berharga sekiranya diurus dan diselia dengan baik (Marsh 2004; Abdul Halim 2008).

Guru masa kini semakin berpengetahuan dan peka dengan persediaan menggunakan ICT dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Dalam era ICT yang berkembang hebat guru perlu memfokus dua bidang utama. Bidang pertama melibatkan pembelajaran menggunakan teknologi di mana guru didedahkan dengan pelbagai kemahiran bagaimana menggunakan ICT dari aspek pengurusan hal peribadi sehinggalah aspek profesional. Guru melalui proses pembelajaran mengenai ICT sama seperti mereka mempelajarinya di sekolah. Kecekapan ICT ini dikenali sebagai literasi ICT meliputi pengetahuan tentang konsep asas dan operasi ICT. Aspek yang terkandung dalam literasi ICT termasuklah konsep asas ICT, penggunaan komputer, pemprosesan perkataan, hamparan elektronik, pangkalan data, pengurusan fail, penghasilan dokumen, persembahan, serta informasi dan komunikasi (Norton & Wiburg 2003). Bidang yang kedua memfokus kepada penggunaan ICT dalam proses pengajaran dan pembelajaran, iaitu bagaimana menggunakan ICT secara efektif dalam pengajaran dan pembelajaran. Penggunaan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran bermaksud menggunakan ICT secara berfikrah, terancang dan bersesuaian untuk meningkatkan kecekapan proses dan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran.

Oleh itu, boleh dikatakan bahawa keberkesanan penggunaan ICT dalam P&P banyak bergantung kepada guru. Ini membawa kepada masalah seterusnya iaitu berkaitan dengan sikap guru terhadap penggunaan ICT dalam proses P&P. Sikap guru memainkan peranan yang penting bagi memastikan ICT digunakan secara efektif dan juga mempengaruhi tahap keyakinan guru terhadap penggunaan komputer dalam bilik darjah (Delcourt & Kinzie, 1993). Ramai guru yang mengalami perasaan gelisah apabila mereka perlu menggunakan komputer dalam kurikulum (Woodrow, 1991). Sikap negatif iaitu kurang keyakinan diri dan kekurangan guru berkemahiran komputer merupakan halangan serius kepada pengintegrasikan komputer ke dalam bilik darjah. Sekiranya guru tidak rasa cemas menggunakan komputer, maka semakin besar kemungkinan guru mengintegrasikan komputer dalam kurikulum (Dupagne & Krendl, 1992).

Kebanyakan guru prasekolah di Malaysia kurang menggunakan ICT dalam P&P disebabkan masalah yang mereka hadapi. Hannafin dan Savenye telah mengenal pasti beberapa faktor yang menyebabkan guru enggan menggunakan ICT dalam P&P: kelemahan reka bentuk perisian, skeptisisme tentang keberkesanan komputer dalam meningkatkan hasil pembelajaran, kurang sokongan pentadbiran, masa dan usaha yang diperlukan untuk belajar teknologi dan bagaimana menggunakannya untuk mengajar, dan takut kehilangan kuasa mereka di kelas kerana P&P berpusatkan pelajar (Hannafin, 1999; Savenye, 1993). Masalah yang menyumbang kepada kegagalan penggunaan ICT dalam P&P perlu ditangani bagi memastikan pengintegrasian ICT dalam P&P prasekolah mencapai objektif dan matlamatnya.
            Berdasarkan hasil kajian daripada dua jurnal ini bolehlah dirumuskan bahawa penggunaan ICT dalam pengajaran kanak-kanak prasekolah bukanlah satu kemestian untuk meningkatkan hasil pembelajaran dan tingkah laku mereka. Hasil kajian ini juga menunjukkan bahawa kanak-kanak tidak memerlukan komputer dan teknologi digital seratus peratus untuk meningkatkan perkembangan kognitif mereka. Mereka boleh belajar dengan berkesan tanpa penggunaan ICT oleh guru mereka. Dapatan kajian mungkin melegakan bagi golongan miskin dan tidak berkemampuan membelikan komputer untuk kegunaan anak-anak mereka belajar dan penduduk yang tinggal di kawasan luar bandar dan pedalaman yang belum mempunyai kemudahan asas elektrik dan telefon. Kanak-kanak di luar bandar dan di pedalaman walaupun tidak didedahkan dengan penggunaan ICT masih boleh belajar melalui pelbagai kaedah dan teknik pengajaran dan pembelajaran bersesuaian dengan tahap perkembangan keupayaan dan kebolehan mereka. Kanak-kanak masih boleh meningkatkan literasi menerusi persekitaran pembelajaran yang kondusif menggunakan pelbagai aktiviti mencabar serta penglibatan aktif mereka. Tidak dinafikan bahawa pengajaran menggunakan ICT merupakan satu strategi menyeluruh dalam menentukan tahap pencapaian murid. Namun begitu, gaya pengajaran guru memainkan peranan penting dalam pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Guru-guru perlu mencari idea yang lebih kreatif, inovatif dan menarik bagi meningkatkan minat serta memotivasikan murid untuk belajar. Penggunaan ICT hanyalah merupakan satu alat yang boleh membantu guru dan memudahkan proses pengajaran dan pembelajaran (Burnett 2010).
Dapatan kajian menunjukkan tiada perbezaan dalam hasil pembelajaran dan tingkah laku murid yang menggunakan ICT dengan mereka yang tidak menggunakan ICT. Sehubungan itu, perlu diteliti semula apakah faktor penyebab kepada hasil dapatan pengajaran menggunakan ICT dan tanpa ICT adalah sama. Menurut Rohani et al. (2003), analisis perlu dibuat dengan melihat semula aspek kesediaan kelas dan pedagogi guru dalam melaksanakan pengajaran. Jika penggunaan komputer dapat dioptimumkan kepada murid dan guru pula pandai mengolah kandungan pengajaran mengikut kesesuaian nescaya impak penggunaan ICT mampu mencapai tahap yang memberangsangkan perkembangan kognitif murid. Selain itu, untuk memastikan dasar kerajaan yang mengutamakan penggunaan ICT mencapai matlamatnya, semua pihak khususnya


Kementerian Pendidikan Malaysia perlu memastikan aspek kesediaan seperti infrastruktur fizikal sempurna dan lengkap sementara kemahiran guru dipertingkat melalui latihan dan pendedahan. Memandangkan cabaran globalisasi dalam dunia tanpa sempadan ini semakin hebat, semua pihak perlu berganding bahu dalam merealisasikan hasrat KPM. Pelaburan yang bernilai jutaan ringgit akan dapat dimanfaatkan sepenuhnya dan memberi pulangan besar dalam pembangunan negara kelak sekiranya semua pihak mempunyai iltizam dan komitmen mencapai kejayaan. Hubungan antara hasil kerja dan tingkah laku dalam proses pengajaran dan pembelajaran semestinya signifikan dan saling mempengaruhi. Oleh itu kajian seperti ini perlu diteruskan dengan lebih mendalam untuk mengetahui sama ada trend tersebut berkekalan setelah murid tamat pendidikan di peringkat prasekolah. Hasil kajian boleh dijadikan rujukan dalam mengkaji keberkesanan penggunaan ICT di peringkat rendah dan menengah.

ICT dalam Pendidikan Awal Kanak-kanak (Pro dan Kontra)

Kebaikan ICT
Di dalam sistem pengajaran dan pembelajaran era ini, penggunaan ICT dilihat merupakan elemen penting dalam membantu guru mendidik kanak-kanak. ICT amat membantu dalam persediaan awal guru serta kanak-kanak dalam meneroka pengalaman pembelajaran baru.
1. penggunaan ICT dalam proses pengajaran dan pembelajaran dapat meningkatkan   
   kecekapan dan keberkesanan hasil pembelajaran. Ia membantu guru untuk mendapatkan
     bahan pengajaran serta membantu dalam membuat persiapan lebih awal untuk pengajaran.
2.  Pengajaran dan pembelajaran lebih menarik dan berkesan. Contohnya penggunaan Power
     Point, Flash, Video, dan Visual.
3. Mempelbagaikan proses pengajaran dan pembelajaran dan tidak tertumpu pada teknik 
     kuliah sahaja.
4. Kanak-kanak dapat menguasai teknologi-teknologi terkini yang dapat membantu mereka
     menguasai mata pelajaran yang dipelajari serta boleh menyimpan, memproses dan merekod
    maklumat yang diperoleh.
5. Memberi peluang pembelajaran yang sama kepada semua murid pelbagai keupayaan.
    Jelasnya, murid yang lemah juga boleh belajar dan menggunakan komputer dalam kelas.
6. Membantu kanak-kanak menjelajah dunia internet dan membuat lebih banyak aktiviti yang
    melibatkan perkembangan kognitif serta mereka lebih aktif dalam pembelajaran.
7. ICT boleh dijadikan sebagi pengayaan bagi murid yang cerdik untuk mencabar minda
    mereka.


Keburukan ICT
Pada era global kanak-kanak tidak terkecuali dalam rentak arus pemodenan ini. kanak-kanak sudah berkemahiran membuka, menutup komputer serta menerokai perkara-perkara baru. Sungguhpun ICT banyak manfaat, ia juga dilihat memberi kesan negatif terhadap kanak-kanak.
1. Perkembangan kanak-kanak tidak akan berkembangan kerana hanya duduk bermain 
     komputer. Ia merujuk kepada tahap perkembangan jasmani, emosi, rohani, intelek dan
     sosial  mereka.
2.  Kanak-kanak terdedah kepada perkara-perkara yang melangkaui batas tahap umur mereka.
    Contohnya, hal-hal yang berkaitan dengan isu seks, jenayah, keganasan dan hiburan yang
    melampau. 
3. Kanak-kanak cenderung untuk malas belajar dan cepat merasa bosan dalam sesi
     pembelajaran. Ini disebabkan daya tarikan ICT yang lebih bersifat interaktif.
4. Kanak-kanak menjadi ketagih dengan permainan komputer. Terdapat pelbagai jenis
     permainan terkini dalam perisian komputer. Kanak-kanak menjadi leka dan lebih
     menumpukan perhatian kepada permainan tersebut.
5. Kurangnya interaksi sosial di kalangan ahli keluarga, rakan sebaya dan masyarakat di
     persekitaran. Masa kanak-kanak banyak terbuang di hadapan komputer.