Penggunaan ICT dalam pengajaran dan
pembelajaran bermaksud menggunakan ICT secara berfikrah, terancang dan
bersesuaian untuk meningkatkan kecekapan proses dan keberkesanan pengajaran dan
pembelajaran. Oleh yang demikian perubahan-perubahan pedagogi menggunakan ICT
adalah perlu dalam usaha menghasilkan proses pengajaran dan pembelajaran
menjadi lebih menarik lagi berkesan (Mohd. Arif & Rosnaini 2002; Fauziah
Ahmad 2006).
Pendidikan
prasekolah merujuk kepada Akta Pendidikan 1996 ialah program pendidikan bagi murid
yang berumur dari 4 hingga 6 tahun (Kementerian Pendidikan Malaysia, 2013).
Program dan kegiatannya mengikut garis panduan kurikulum prasekolah yang
berlandaskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Tujuan pendidikan prasekolah ialah
untuk memperkembangkan potensi kanak-kanak secara menyeluruh dalam aspek
jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial melalui persekitaran pembelajaran
yang selamat, selesa serta menyediakan aktiviti yang menyeronokkan, kreatif dan
bermakna. Ini adalah untuk meningkatkan kemahiran dan keyakinan diri dengan
keadaan semasa, boleh menangani cabaran dan tanggungjawab di sekolah rendah
kelak (Kurikulum, 2010).
Dalam usaha merapatkan jurang digital antara lokasi, guru dan
pelajar, penggunaan ICT telah diperluaskan bukan sahaja di sekolah, malahan di
peringkat prasekolah. Pelbagai pendekatan, strategi dan teknik yang sesuai
dengan minat dan kebolehan kanak-kanak digunakan untuk mencapai hasil
pembelajaran dalam kurikulum pendidikan prasekolah. Pembelajaran yang berkesan
dari usia kanak-kanak lagi akan membentuk satu asas pembelajaran yang kukuh dan
mantap bagi membantu mereka untuk meneruskan pembelajaran di peringkat yang
lebih tinggi (Sharifah Nor 2002;PPK 2003a).
Penggunaan
teknologi maklumat dan komunikasi (Information and Communications Technology
atau ICT) dalam pengajaran dan pembelajaran prasekolah merupakan salah satu
cara untuk meningkatkan keberkesanan P&P prasekolah. Kanak-kanak hari ini
adalah generasi komputer (Papert, 1996). Teknologi boleh memainkan peranan
penting dalam proses P&P kanak-kanak (Haugland & Wright, 1997). ICT
menawarkan pendekatan baru untuk belajar dan penguasaan kemahiran baru. Oleh
itu kanak-kanak perlulah didedahkan kepada ICT dengan cara yang bermakna.
Jika ICT tidak
sepenuhnya diintegrasikan ke dalam kurikulum secara keseluruhan, ia boleh
meninggalkan kesan negatif ke atas kreativiti kanak-kanak (Haugland, 1992).
Menyedari hakikat ini, pada tahun 2002 program ICT (KPM, 2003) prasekolah
diberikan keutamaan dan dijadikan sebahagian elemen penting di mana ia bukan
sahaja telah diambil kira sebagai salah satu komponen dalam Kurikulum
Prasekolah Kebangsaan malah menggunakan ICT juga diutamakan.
Kurikulum KSPK
merupakan kurikulum yang berbentuk modular di mana ia merupakan satu kurikulum
yang kandungannya diorganisasikan dan seterusnya disampaikan dalam bentuk
bahagian atau unit yang dikenali sebagai modul. Terdapat dua jenis modul iaitu
modul teras dan modul bertema. Modul teras terdiri daripada mata pelajaran
Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Bahasa Cina/Bahasa Tamil, Pendidikan
Islam/Pendidikan Moral dan Matematik. Modul bertema pula merupakan modul
bersepadu yang merangkumi unsur-unsur dalam keenam-enam tunjang pembelajaran
dan juga unsur kreatif, kritis dan inovatif. Modul Bertema dibina menggunakan isu
kehidupan atau peristiwa seharian kanak-kanak.
Guru prasekolah digalakkan menggunakan ICT dalam P&P merentas
kurikulum. Pendekatan ICT digunakan untuk membantu proses P&P menjadi lebih
menarik, memperolehi maklumat, berinteraksi dengan bahan untuk belajar sendiri
dan bersama rakan sebaya dan memperkayakan pengalaman pembelajaran. Bagi
menjayakan rancangan ini, Kementerian Pelajaran telah membekalkan kelas
prasekolah dengan sistem komputer dan perisian untuk digunakan oleh
pelajar-pelajar prasekolah (Lim Keat Heng, 2007).
Penggunaan ICT dalam pendidikan mestilah difokuskan kepada proses
mengaplikasikan peralatan dengan menggunakan prinsip, kaedah dan teknik yang
sesuai dalam pengajaran dan pembelajaran. Komputer bukan sahaja dapat menyimpan
maklumat dengan kapasiti tinggi malah dapat mengukur perkembangan kanak-kanak
dengan cepat dan berkesan. Pelbagai perisian yang digunakan juga mampu menambah
pengetahuan kanak-kanak, memberikan pengalaman bermakna, meningkatkan kemahiran
kanak-kanak dalam mempelajari bidang ilmu seperti Sains dan Matematik (Abdul
Halim 2008).
Potensi ICT sebagai alat yang boleh membantu dalam pengajaran dan
pembelajaran menjadi semakin penting dan meningkat secara mendadak dalam sistem
pendidikan masa kini. Minat dan kegemaran pelajar menggunakan ICT harus
dimanfaatkan oleh guru dan ibu bapa dengan membimbing pelajar dan anak mereka
ke arah penggunaan yang betul. Satu cabaran dalam sistem pendidikan di Malaysia
adalah untuk menganjak paradigma guru ke arah perubahan kaedah pengajaran dan
pembelajaran terkini menggunakan komputer dan kemudahan ICT sebagai pendekatan
alternatif. Para guru perlu mencari idea pembelajaran dan bahan bantu mengajar
yang menarik untuk memotivasikan minat dan mewujudkan daya tarikan dalam proses
pembelajaran kurikulum pendidikan. (Liew 2007; Sharifah Nor 2010).
Tidak dinafikan bahawa teknologi komputer boleh
menjadi wadah utama perkembangan dalam pendidikan awal kanak-kanak. Ia mampu
menjadikan proses pembelajaran dalam kalangan kanak-kanak lebih menarik, meluas
dan mengkagumkan.
Bagaimanapun, antara isu utama yang sentiasa menjadi agenda dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak ialah dari segi keberkesanan pembelajaran berbantukan elemen multimedia.
Penggunaan ICT dalam pendidikan awal kanak-kanak dalam sessi pengajaran dan pembelajaran secara terancang dan bersesuaian dapat membantu dalam pencarian maklumat dan ilmu pengetahuan terhadap seseorang kanak-kanak itu. Walau bagaimanapun, ICT dalam pengajaran dan pembelajaran untuk awal kanak-kanak tidak boleh terlalu berat dan ia haruslah bersesuaian dengan peringkat umur kanak-kanak tersebut.
Bagaimanapun, antara isu utama yang sentiasa menjadi agenda dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak ialah dari segi keberkesanan pembelajaran berbantukan elemen multimedia.
Penggunaan ICT dalam pendidikan awal kanak-kanak dalam sessi pengajaran dan pembelajaran secara terancang dan bersesuaian dapat membantu dalam pencarian maklumat dan ilmu pengetahuan terhadap seseorang kanak-kanak itu. Walau bagaimanapun, ICT dalam pengajaran dan pembelajaran untuk awal kanak-kanak tidak boleh terlalu berat dan ia haruslah bersesuaian dengan peringkat umur kanak-kanak tersebut.

sangat membantu dalam tugasan saya
ReplyDeletemenarik
ReplyDeletewow kinda interesting
ReplyDelete