Penggunaan
bahan ICT agak terkenal di negara-negara barat dan keberkesanannya amat maju.
Aktiviti seperti nyanyian, menggabungkan pembelajaran dengan menggunakan
sofware atau perisian yang sesuai dengan kanak-kanak. Mereka juga boleh
mencipta lagu mereka sendiri dan mempelajari pelbagai alat muzik menggunakan
perisian tersebut. Selain itu, National Geographic Kids membekalkan maklumat
tentang geografi, kraf, aktiviti sains untuk kanak-kanak (Doris Bergen,2001).
Menurut Burnett
(2010) kanak-kanak masa kini membesar dalam textual landscape di mana mereka
mempunyai pelbagai cara berinteraksi dan bermain dengan aktif di dalam
persekitaran yang dicipta melalui teknologi digital seperti permainan komputer,
telefon bimbit dan dunia virtual. Kajian-kajian penggunaan ICT pada peringkat
awal kanak-kanak menunjukkan pendedahan kepada komputer multimedia boleh memberangsang
dan mendorong kanak-kanak belajar dengan lebih baik, cepat dan berkesan. Pendedahan
awal kanak-kanak kepada ICT dan teknologi digital dapat membina pemikiran kritikal,
meningkatkan kreativiti, meneroka pelbagai bidang, mengaplikasi pengetahuan dan
kemahiran dalam situasi, di samping meningkatkan minat dan perhatian. Banyak
konsep asas dalam pembelajaran boleh disampaikan dengan berkesan melalui
program pengajaran dan pembelajaran menggunakan komputer multimedia (Maier
& Warren 2002; Parker 2008)

Pada asasnya,
kanak-kanak mendapat pengalaman melalui manipulasi benda-benda maujud atau
konkrit serta penerokaan persekitaran mereka. Kanak-kanak belajar daripada
persekitaran mereka melalui lima deria semula jadi yang dianugerahkan sejak mereka
lahir. Daripada pengalaman ini kanak-kanak akan menganalisis pengetahuan dan mengukuhkan
konsep pembelajaran mereka. Teori kematangan kanak-kanak yang diasaskan oleh
Rousseau dan teori perkembangan kognitif kanak-kanak oleh Piaget, Bruner dan
Vygotsky menekankan bahawa kanak-kanak berkembang mengikut keupayaan apabila
didedahkan pada persekitaran yang optimum. Dalam pasaran masa kini, terdapat
pelbagai jenis program dan perisian yang boleh diperoleh dengan mudah. Kanak-kanak
didedahkan dengan pelbagai bahan pembelajaran yang berbentuk akademik mahu pun
permainan. Semua ini alat rangsangan yang menyediakan pengalaman pembelajaran
berharga sekiranya diurus dan diselia dengan baik (Marsh 2004; Abdul Halim
2008).
Guru masa kini semakin berpengetahuan
dan peka dengan persediaan menggunakan ICT dalam proses pengajaran dan
pembelajaran. Dalam era ICT yang berkembang hebat guru perlu memfokus dua
bidang utama. Bidang pertama melibatkan pembelajaran menggunakan teknologi di
mana guru didedahkan dengan pelbagai kemahiran bagaimana menggunakan ICT dari aspek
pengurusan hal peribadi sehinggalah aspek profesional. Guru melalui proses
pembelajaran mengenai ICT sama seperti mereka mempelajarinya di sekolah.
Kecekapan ICT ini dikenali sebagai literasi ICT meliputi pengetahuan tentang
konsep asas dan operasi ICT. Aspek yang terkandung dalam literasi ICT
termasuklah konsep asas ICT, penggunaan komputer, pemprosesan perkataan, hamparan
elektronik, pangkalan data, pengurusan fail, penghasilan dokumen, persembahan,
serta informasi dan komunikasi (Norton & Wiburg 2003). Bidang yang kedua
memfokus kepada penggunaan ICT dalam proses pengajaran dan pembelajaran, iaitu
bagaimana menggunakan ICT secara efektif dalam pengajaran dan pembelajaran.
Penggunaan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran bermaksud menggunakan ICT
secara berfikrah, terancang dan bersesuaian untuk meningkatkan kecekapan proses
dan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran.
Oleh itu, boleh dikatakan bahawa
keberkesanan penggunaan ICT dalam P&P banyak bergantung kepada guru. Ini
membawa kepada masalah seterusnya iaitu berkaitan dengan sikap guru terhadap
penggunaan ICT dalam proses P&P. Sikap guru memainkan peranan yang penting
bagi memastikan ICT digunakan secara efektif dan juga mempengaruhi tahap
keyakinan guru terhadap penggunaan komputer dalam bilik darjah (Delcourt &
Kinzie, 1993). Ramai guru yang mengalami perasaan gelisah apabila mereka perlu
menggunakan komputer dalam kurikulum (Woodrow, 1991). Sikap negatif iaitu
kurang keyakinan diri dan kekurangan guru berkemahiran komputer merupakan
halangan serius kepada pengintegrasikan komputer ke dalam bilik darjah.
Sekiranya guru tidak rasa cemas menggunakan komputer, maka semakin besar
kemungkinan guru mengintegrasikan komputer dalam kurikulum (Dupagne &
Krendl, 1992).
Kebanyakan guru prasekolah di Malaysia
kurang menggunakan ICT dalam P&P disebabkan masalah yang mereka hadapi.
Hannafin dan Savenye telah mengenal pasti beberapa faktor yang menyebabkan guru
enggan menggunakan ICT dalam P&P: kelemahan reka bentuk perisian,
skeptisisme tentang keberkesanan komputer dalam meningkatkan hasil
pembelajaran, kurang sokongan pentadbiran, masa dan usaha yang diperlukan untuk
belajar teknologi dan bagaimana menggunakannya untuk mengajar, dan takut
kehilangan kuasa mereka di kelas kerana P&P berpusatkan pelajar (Hannafin,
1999; Savenye, 1993). Masalah yang menyumbang kepada kegagalan penggunaan ICT
dalam P&P perlu ditangani bagi memastikan pengintegrasian ICT dalam P&P
prasekolah mencapai objektif dan matlamatnya.
Berdasarkan hasil kajian daripada
dua jurnal ini bolehlah dirumuskan bahawa penggunaan ICT dalam pengajaran kanak-kanak
prasekolah bukanlah satu kemestian untuk meningkatkan hasil pembelajaran dan
tingkah laku mereka. Hasil kajian ini juga menunjukkan bahawa kanak-kanak tidak
memerlukan komputer dan teknologi digital seratus peratus untuk meningkatkan
perkembangan kognitif mereka. Mereka boleh belajar dengan berkesan tanpa penggunaan
ICT oleh guru mereka. Dapatan kajian mungkin melegakan bagi golongan miskin dan
tidak berkemampuan membelikan komputer untuk kegunaan anak-anak mereka belajar
dan penduduk yang tinggal di kawasan luar bandar dan pedalaman yang belum mempunyai
kemudahan asas elektrik dan telefon. Kanak-kanak di luar bandar dan di
pedalaman walaupun tidak didedahkan dengan penggunaan ICT masih boleh belajar
melalui pelbagai kaedah dan teknik pengajaran dan pembelajaran bersesuaian dengan
tahap perkembangan keupayaan dan kebolehan mereka. Kanak-kanak masih boleh meningkatkan
literasi menerusi persekitaran pembelajaran yang kondusif menggunakan pelbagai
aktiviti mencabar serta penglibatan aktif mereka. Tidak dinafikan bahawa
pengajaran menggunakan ICT merupakan satu strategi menyeluruh dalam menentukan
tahap pencapaian murid. Namun begitu, gaya pengajaran guru memainkan peranan
penting dalam pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Guru-guru perlu mencari
idea yang lebih kreatif, inovatif dan menarik bagi meningkatkan minat serta
memotivasikan murid untuk belajar. Penggunaan ICT hanyalah merupakan satu alat
yang boleh membantu guru dan memudahkan proses pengajaran dan pembelajaran (Burnett
2010).
Dapatan kajian menunjukkan tiada
perbezaan dalam hasil pembelajaran dan tingkah laku murid yang menggunakan ICT
dengan mereka yang tidak menggunakan ICT. Sehubungan itu, perlu diteliti semula
apakah faktor penyebab kepada hasil dapatan pengajaran menggunakan ICT dan tanpa
ICT adalah sama. Menurut Rohani et al. (2003), analisis perlu dibuat dengan
melihat semula aspek kesediaan kelas dan pedagogi guru dalam melaksanakan
pengajaran. Jika penggunaan komputer dapat dioptimumkan kepada murid dan guru
pula pandai mengolah kandungan pengajaran mengikut kesesuaian nescaya impak
penggunaan ICT mampu mencapai tahap yang memberangsangkan perkembangan kognitif
murid. Selain itu, untuk memastikan dasar kerajaan yang mengutamakan penggunaan
ICT mencapai matlamatnya, semua pihak khususnya
Kementerian Pendidikan Malaysia perlu
memastikan aspek kesediaan seperti infrastruktur fizikal sempurna dan lengkap
sementara kemahiran guru dipertingkat melalui latihan dan pendedahan. Memandangkan
cabaran globalisasi dalam dunia tanpa sempadan ini semakin hebat, semua pihak
perlu berganding bahu dalam merealisasikan hasrat KPM. Pelaburan yang bernilai
jutaan ringgit akan dapat dimanfaatkan sepenuhnya dan memberi pulangan besar
dalam pembangunan negara kelak sekiranya semua pihak mempunyai iltizam dan
komitmen mencapai kejayaan. Hubungan antara hasil kerja dan tingkah laku dalam
proses pengajaran dan pembelajaran semestinya signifikan dan saling
mempengaruhi. Oleh itu kajian seperti ini perlu diteruskan dengan lebih
mendalam untuk mengetahui sama ada trend tersebut berkekalan setelah murid tamat
pendidikan di peringkat prasekolah. Hasil kajian boleh dijadikan rujukan dalam
mengkaji keberkesanan penggunaan ICT di peringkat rendah dan menengah.
No comments:
Post a Comment